Sabtu, 25 Julai 2009

IHYA' RAMADHAN 1 : RAMADHAN BULAN MENILAI KEIMANAN




RAMADAN adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh orang soleh. Bulan yang disebut oleh Rasulullah sebagai ‘bulan umatku’, satu-satunya umat yang dikurniakan dengan bulan mulia dalam sejarah kewujudan manusia.

Kaum nabi terdahulu tidak pernah dikurnia Allah dengan mana-mana bulan mulia. Bukan saja Ramadan itu, mengandungi seribu rahmat, malah menunggu-nunggu datangnya pun adalah rahmat Ilahi. Ini seperti sabda Rasulullah, maksudnya: “Sesiapa yang bergembira dengan datangnya Ramadan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka.” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Sebagai mana pintu syurga dibuka pada Ramadan, pintu keberkatan, kebaikan, pintu kasih-sayang, kemaafan, hidayah dan petunjuk juga terbuka.

Pintu neraka tertutup rapat, sebagaimana jalan ke neraka juga tersekat. Jalan ke syurga terbentang luas, hingga Rasulullah sendiri menjelaskan dalam sabdanya: “Tidur orang yang berpuasa pada bulan puasa adalah ibadat, diamnya adalah tasbih, manakala ibadatnya dilipatgandakan pahalanya oleh Allah.”

Ramadan adalah bulan kerehatan dan kelapangan daripada segala hiruk pikuk dan kesibukan dunia. Bulan kita berhenti sebentar daripada keserabutan kejar-mengejar di pentas dunia, untuk melihat ke dalam diri sendiri terhadap cebis iman yang masih tinggal serta dosa pahala yang pernah diperbuat selama setahun.

Justeru, kita dianjurkan agar meningkatkan keimanan.

Keempat-empat komponen kewujudan manusia hendaklah diperkukuhkan dengan neraca iman. Tubuh badan bertambah taat, roh makin bercahaya, akal penuh bijaksana dan nafsu bak air tasik tenang tidak berkocak.

Berhenti sebentar berfikir dengan rasional status perhubungan kita dengan Allah selama ini, ketaatan kepada Rasulullah serta apa yang dibuat untuk agama, bangsa, negara, ibu bapa, keluarga, jiran tetangga dan diri sendiri?

Rasulullah bersabda: “Sesiapa saja yang berpuasa pada Ramadan dengan penuh iman dan menghisab diri sendiri akan diampunkan dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Bagi mereka yang mencari kebaikan Ramadan, pelbagai peluang diberikan. Malah, bagi mereka yang belum mampu mengerjakan haji, sama ada kerana masalah kewangan, kekurangan ilmu atau belum dapat kuota mengerjakannya, dia boleh saja sekurang-kurang mengerjakan umrah pada Ramadan.

Seperti kisah yang diceritakan Ibnu Abbas bahawa Rasulullah pernah bertanya kepada seorang wanita dari kaum Ansar, baginda bersabda: “Apakah yang menghalang kamu daripada mengerjakan ibadat haji bersamaku?

“Wanita itu menjawab: Sebenarnya tidak ada halangan bagi kami, cuma kami hanya mempunyai dua unta. Suami dan anakku sudah pergi mengerjakan haji dengan seekor unta. Tinggallah kepada kami seekor unta untuk mengangkat air.

“Rasulullah bersabda: Apabila tiba Ramadan pergilah mengerjakan umrah kerana mengerjakan umrah pada bulan itu pahalanya sama dengan pahala mengerjakan haji.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Begitu juga pada malam Ramadan, peluang terbuka luas untuk menghidupkan malamnya dengan mendirikan solat Tarawih, Saidina Abu Hurairah ada menjelaskan bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang mendirikan sembahyang malam pada Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Walaupun Ramadan bulan kerehatan,namun ia bukanlah bulan untuk bermalas-malasan, menjadikan orang Islam tidak produktif atau menjadikan alasan berpuasa untuk tidak membereskan sebarang pekerjaan.

Sepatutnya pada Ramadan, umat Islam bertambah cergas, kuat kerja, aktif dan lebih kuat semangat. Ini kerana setiap tanggungjawab yang dibereskan pasti mendapat ganjaran berlipat ganda.

Ramadan juga adalah bulan kemurahan, murah hati dengan mengeluarkan zakat dan sedekah. Namun, Ramadan bukan bulan pembaziran dan menambah daya nafsu serakah. Bulan ini kita berkongsi kebaikan, pahala dan keberkatannya. Jangan sampai dikatakan orang ‘awak sajakah yang hendak buat pahala’? Ini pernah berlaku seorang yang mengaji al-Quran dengan pembesar suara masjid dihidupkan, sampai dinihari masih belum berhenti. Jiran tidak boleh tidur, sedangkan esok semua orang hendak bekerja, yang tidur siang dia seorang.

Selasa, 21 Julai 2009

H1N1 , BALA DAN KEINGKARAN ORANG AGAMA TEGUR KEMUNGKARAN - TOK GURU NIK AZIZ

KOTA BHARU, 5 Ogos (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengkiaskan, virus H1N1 yang semakin serius melanda negara hari ini adalah satu bala atas kemungkaran yang berlaku.

Bala ini katanya akan datang tidak mengira samada di kawasan itu ada golongan agama atau sebaliknya, semuanya akan ditimpa.

Lebih-lebih lagi apabila ada golongan agama yang 'membisu' yang tidak mahu menegur atau menasihati kemungkaran yang berlaku, ujarnya sinis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini virus H1N1 yang melanda negara yang kini menyebabkan 12 kematian.

Beliau ditemui di pengkalan kapal, Pengkalan Kubor sebaik menyambut ketibaan delegasi MISI ROYALTI 2009 yang membuat pelayaran ke Pelantar Minyak Cakrawala, sempadan Malaysia Thailand 4 hingga 5 Ogos.Misi itu dikepalai Exco Kanan Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa.

Bercakap lanjut mengenai isu H1N1, Tok Guru bagaimanapun berharap semua pihak berdoa kepada yang Pencipta selain berusaha dengan kaedah perubatan.

Beliau turut mahu semua pihak berganding bahu bagi mengatasi kemelut ini, kerajaan pusat, rakyat mahupun kerajaan-kerajaan negeri.

"Kita kena serah kepada Allah, bala ini bila mari(datang) dia jangan kata tak ada kena mengena dengan tuhan, alim ulama sebut ia akan kena termasuk kepada orang baik, kerana apa mungkin kerana dia tidak nasihaa dan tak tazkirah.

"Oleh itu kita kena kerjasama semua sekali, rakyat mahupun kerajaan kena bekerjasama, jika tidak habis kena bala, bumi ini tuhan punya, justeru kita tidak boleh buat pandai-pandai," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan terkini, seorang lagi kanak-kanak, berusia enam tahun, meninggal dunia 2.30 pagi ini di Hospital Batu Pahat akibat wabak selesema babi A (H1N1), menjadikan jumlah seluruhnya 12 orang meninggal dunia di seluruh negara sejak dua minggu lalu.

Dua korban terbaru wabak tersebut yang dilaporkan sebelumnya terjadi di Melaka.

Seorang lelaki 20 tahun dan remaja 12 tahun dari negeri itu - masing-masing menghidap lelah dan kegagalan buah pinggang - menjadi korban terbaru kes selepas kematian kanak-kanak tiga tahun disahkan akibat virus tersebut.

Mangsa kesembilan Iffah Syazwina Samsuddin dilaporkan meninggal dunia pada 4.30 petang semalam di Hospital Melaka.

Korban kelapan membabitkan seorang guru 51 tahun dari Kuala Selangor yang meninggal dunia Ahad lalu. Sekolah tempat guru itu mengajar ditutup pada 27 Julai.

Setakat ini, 1,476 kes selesema A (H1N1) dilaporkan di seluruh negara, termasuk 16 kes terbaru termasuk kematian tersebut.

Korban ketujuh, ibu 24 tahun dari Miri, Sarawak yang baru melahirkan anak sulungnya dua minggu lalu meninggal dunia Ahad lepas. Anaknya bagaimanapun dilaporkan selamat.

Keenam, murid lelaki berusia 11 tahun dari Johor Bahru meninggal akibat komplikasi, 2 Ogos lalu.

Kelima, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Bagan Serai, Perak meninggal dunia Jumaat lalu.

Pada 28 Julai lalu, wanita berusia 20 tahun dari Melaka meninggal dunia akibat pneumonia teruk yang dijangkiti dari persekitaran.

Sehari sebelumnya, seorang lelaki berusia 42 tahun mati akibat wabak itu setelah disahkan menghidap selesema A (H1N1).

Si mati yang mengalami pelbagai komplikasi meninggal akibat pneumonia yang serius dengan kegagalan beberapa organ setelah 10 hari mendapat rawatan.

Korban kedua wabak itu di negara ini, lelaki 46 tahun yang meninggal dunia di hospital swasta di Subang Jaya, 26 Julai.

Lelaki tersebut dilaporkan mati akibat "pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan bersama kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut" selepas tujuh hari di unit rawatan rapi.

Pada 23 Julai lalu, seorang pelajar Indonesia berusia 30 tahun yang menuntut di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur menjadi korban pertama berkaitan wabak selesema A (H1N1)./wann_

- HARAKAHDAILY.NET

MENG "UPLOAD“ GAMBAR BAGI WANITA…

"Dunia semakin canggih, segalanya hanya di hujung jari. Klik saja terus dapat. Bercerita tentang aktiviti meng'upload' gambar pada laman-laman tertentu seperti Friendster, Myspace, Facebook, Blog dan lain-lain dilihat kini menjadi perkara biasa sahaja terutama dikalangan wanita yang bergelar muslimah.

Gambar-gambar yang di'upload' itu disertai dengan bermacam-macam ragam, aksi (aksi yang paling popular adalah 'peace' dengan dua jari) dan gaya 'posing' yang berbagai sehingga ada gambar-gambar yang di'upload' menampakkan kesan-kesan jerawat yang ada di muka

Terbit rasa hairan di dalam hati ini, di manakah perginya rasa segan mereka? Tidakkah terbit rasa malu di hati mereka? Malu adalah merupakan lambang keimanan...

Berbagai kemungkinan yang menjadi tujuan utama mereka meng'upload' gambar-gambar pada laman-laman tertentu seperti gambar tersebut adalah untuk tontonan umum sebagai menceritakan perkara-perkara yang telah berlaku dengan gambar seperti menyambut hari lahir, hari raya dan pergi melancong. Kemungkinan juga tujuannya adalah supaya orang yang tidak mengenali mereka boleh mengenali dengan gambar dan mungkin juga sebagai tontonan untuk mereka yang sudah kenal serta boleh melihat gambar selalu.

Mungkin juga mereka ingin mempertontonkan kepada umum kecantikan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Ada golongan yang mem'private'kan album gambar mereka dan hanya boleh ditonton oleh orang-orang tertentu sahaja(jawapan ada dibawah). Berbagai kemungkinan, segalanya bergantung kepada tujuan dan niat masing-masing.

Tidakkah kalian merasa gambar kalian adalah sangat berharga? Adakah wajah kalian yang cantik itu dicipta hanya untuk tontonan umun? Tidak salah rasanya jika ada yang menyatakan bahawa ramai yang bangga meletakkan gambar dengan niat mahu mempertontonkan kecantikan yangg telah dikurniakan Allah kepadanya. Sanggupkah kalian menjadikan wajah yang cantik itu untuk memerangkap kaum lelaki, menggoyahkan iman kaum lelaki dan seterusnya mampu meruntuhkan iman kaum lelaki yang melihat gambar tersebut?

Sanggupkah kalian menjadikan gambar dan diri kalian menjadi bahan umpatan bagi kaum lelaki? Tentu kalian tidak tahu apa yang mereka bualkan di belakang, jika kalian tahu sudah tentu kalian akan 'cuak' untuk meng'upload' gambar.

Dunia hari ini semakin canggih sehingga kita tidak mampu untuk mengejar satu persatu kelajuan perkembangan teknologi. Perlu kalian ingat bahawa hanya dengan 'klik' pada butang tetikus sahaja gambar kalian akan ter'save' secara automatik dan dimuat turun ke mana-mana komputer sahaja.

Bagi kes mereka yang mem'private'kan album gambar, perlu diketahui bahawa orang lain mungkin tidak mampu untuk memecah masuk ke album 'private' anda tetapi perlu kita ingat bahawa 'owner'(pemilik) laman tersebut senang sahaja melihat gambar-gambar 'private' kalian. Perlu kalian tahu bahawa selain pemilik laman tersebut, mungkin ada dikalangan 'hackers' yang mampu memecah masuk ke album-album peribadi kalian. 'INGAT', dengan segala kecanggihan yang ada kini dengan mudah sahaja gambar-gambar kalian di'edit' oleh mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan Superimpose Photo, Photoshop, Fireworks dan lain-lain.

Jangan kalian terkejut sekiranya gambar-gambar kalian terpampang pada skrin laman-laman yang tidak sepatutnya kerana hanya satu kesilapan sahaja. Adakah ketika itu kalian mampu lagi berbangga? Apa yang mampu anda lakukan ketika itu adalah hanya merintih tak tentu pasal sahaja atas kesilapan yg dilakukan oleh kalian sendiri.

Perlu ambo tekankan di sini bahawa ambo bukanlah musuh-musuh kalian semua, bukan mahu mengaibkan atau menghentam kalian semua tetapi ambo adalah saudara seislam kalian yang hanya mahu mengingatkan diri ini sendiri dan kalian semua agar gambar-gambar kita tidak dieksploitasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Jika kita perasan, laman di atas kadangkala mencerita perkara yang langsung tidak ada kena mengena dengan gambar yang dipamerkan. Semoga kita memelihara diri dan maruah kita daripada dicemari oleh manusia yang tidak berakhlak.Kadang-kadang kita hendak menasihati orang supaya jangan meletakkan gambar dengan sewenang-wenangnya pada laman friendster, myspace, facebook, blog dan lain-lain tetapi seolah-olah macam tak makan saman.

Nanti kata "ala..ape salahnye..". Tapi kalau tak peduli kena eksploitasi..terpulanglah pada diri masing-masing. Kalau nak letak sangat gambar, sila fikirkan bagaimana keadaan gambar itu supaya tak dieksploitasi seperti yang ada dalam laman di atas. Apa-apa pun, marilah sama-sama kita menjaga pandangan kita.

"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat". - An-Nuur:

By:
sayyid al-yahya
Tranungkite

Ahad, 19 Julai 2009

ANTARA SUPERSTAR DAN SEORANG SYAHIDAH







Setelah sepi tanpa catatan peribadi hari ini terasa gatal tangan saya untuk menekan keyboard laptop buruk saya ini,untuk meluangkan sedikit masa untuk memenuhi ruangan blog Pelajar Rahmaniah di USIM ( PERDAUSI )ini, untuk mengupas perbezaan antara dua peristiwa yang berlaku di dunia barat baru-baru ini, iaitu peristiwa pemakaman Superstar ( MJ) yang ditemui mati mengejut di dalam rumahnya, sebelum ia sempat menjayakan konsertnya menjelajah Eropah yang di jadualkan tidak lama lagi, dan peristiwa Syahidah Syahidah Islam( Marwa El sahrbini ) yang kembali ke Rahmatullahdibunuh dengan dengan penuh tragis oleh seorang warga jerman yang berketurunan Rusia yang anti – Islam. lelaki tersebut cuba menghidupkan semula Islamophobia di Barat, persoalan Islam atau tidak Islam MJ masih lagi menjadi perdebatan hangat kini, namun ketika ini saya tidak mempunyai informasi yang cukup untuk merungkaikan tentang kebenaran atau kekaziban perkara tersebut , mungkin setelah mendapat informasi mencukupi tentang perkara tersebut nanti sama-samalah kita akan mebahaskannya di lain masa dan di lain waktu,insyallah. Segala yang berlaku kepada MJ hanya Allah yang Maha Mengetahui, kita hamba yang kerdil ini hanya mampu berfikir sekadar yang termampu kita.

pertama sekali apa yang nak saya nyatakan di sini ialah rasa sedih.pilu . Itulah yang saya rasakan ketika melihat tayangan pengebumian the King of Pop, Michael Jackson yang begitu gegak gempita di stesen-stesen televisyen di seluruh dunia seminggu lalu yang menayangkan siaran eksklusif secara langsung dari AS acara penghormatan terakhir bagi si Raja Pop sampai pagi ! Dan entah berapa juta mata dunia yang rela menahan ngantuk mata demi menyaksikan acara itu dianggap penting itu ,begitu juga surat-surat khabar tempatan negara kita tak habis-habis menyiarkan berita sesasi tentang MJ sehingga hari ini pun masih ada lagi ( kecuali Harakah ), shinggakan budak-budak baru tumbuh gigi pun tahu kisah MJ , begitulah hebatnya seorang Superstar, Saya sedih, bukan karana kematian MJ yang dipuja jutaan orang di dunia. Tapi saya sedih, karana pada saat yang sama, berlangsung pengebumian seorang muslimah yang Insya Allah menjadi seorang syahidah karena mempertahankan jilbabnya. Marwa Al-Sharbini, seorang ibu satu anak yang sedang mengandung tiga bulan, pemergiannya ke rahmatullah akibat ditikam sebanyak 18 kali oleh seorang pemuda Jerman yang bernama Alex yang berketurunan Rusia yang anti-Islam (islamophobia) . Tapi berita ini, sama sekali kita sehebat berita kematian Raja Pop itu, termasuk juga di Negara kita yang dikatakan sebagai “Negara islam Contoh “ ini, bahkan mungkin, tak banyak di antara kita yang tahu akan peristiwa yang menimpa Marwa. Termasuk yang mengaku menjadi pendokong perjuangan islam sendiri.

Ribuan orang di Mesir yang mengiringi jenazah Marwa ke tempat penyimpanan jenazahnya , memang tidak seramai orang yang menangisi pemergian Michael Jackson. Marwa hanya seorang ibu dan bukan sehebat superstar seperti MJ. Tapi pemergian Marwa adalah lambang jihad seorang muslim. Marwa mempertahankan harga dirinya sebagai seorang Muslimah yang mematuhi ajaran agamanya walaupun terpaksa menggadaikan nyawanya.Marwa ditikam di dalam mahkamah di Kota Dresden, Jerman ketika memberi keterangan kes samannya terhadap seorang pemuda Jerman yang menuduhnya sebagai seorang pengganas kerana dirinya memakai jilbab. Pada suatu ketika dahulu Pemuda Dajjal tersebut pernah menyerangnya ketika allahyarhamah bersiar2 di taman permainan bersama anaknya , kisah bermula apabila Allahyarhamah menegur si Dajjal Jerman tersebut mengajak anaknya bermain dengan anak si Dajjal tersebut, sapaan Marwa dibalas dengan terkaman dan serangan ke atas dirinya dan cuba menaggalkan jilbabnya. selepas itu si Dajjal tersebut mendakwanya di mahkamah atas tuduhan dirinya sebagai “pengganas”, setelah gagal membuktikan dakwaannya di mahkamah tersebut si Dajjal Jerman itu disabitkan kesalahan diatas kesalahan membuli wanita dan dikenakan denda, berang dengan keadaan tersebut Alex kembali menyerang Marwa, kali ini ia menikam Marwaberkali-kali. Suami Marwa yang berusaha melindungi isterinya, malah ditembak oleh pengawal keselamatan mahkamah tersebut yang juga anti- islam dengan alasan untuk menenteramkan keadaan ,menyebabkan si suami malang tersebut kini dalam keadaan parah di Hospital Dresden.

Peristiwa ini tidak dihebahkan di media-media massa Jerman dan mungkin media-media massa asing dunia karana yang menjadi korban adalah seorang muslimah yang dibunuh oleh orang Barat yang anti-Islam ( islamophobia) . Tak ada berita pemghormatan syahidah Marwa Al-Sharbini yang berhak mendapat gelaran “Pahlawan Muslimah ”. tiada tayangan eklusif seperti pengebumian MJ yang dihadiri berjuta manusia ,Tak ada protes dunia Islam atas kematiannya. Tak ada tangis kaum muslimin dunia untuknya keadaan ini mungkin akan berbezaa jika yang menjadi korban adalah satu orang Jerman atau orang Barat yang dibunuh oleh seorang ektrimis Islam. Beritanya dipastikan akan gempar di seluruh dunia .. keadaan ini menggambarkan betapa murahnya nilai darah seorang muslim di mata musuh-musuh islam di barat laknatullahi alaihim, Tapi tak mengapa Marwa … kerana engkau akan mendapatkan tempat yang paling mulia di sisiNya. Seiring doa dari orang-orang yang mencintaimu. Selamat jalan saudariku, kami tidak sehebatmu dlam mempertahankan akidah …semoga dirimu berbahagia di sana..Amin

FADHILAT BULAN REJAB



Bulan Rejab kembali lagi yang akan menemui kita umat Islam pada hari Rabu bersamaan 24 JUN 2009 (1 Rejab 1426 H). Ia merupakan bulan yang sangat dimuliakan di dalam Islam. Banyak hadis Rasulullah S.A.W. yang telah diriwayatkan oleh para sahabat Baginda mengenai kelebihan bulan Rejab, bulan ketujuh di dalam kalendar Islam. Rejab bermaksud ta'azim (kebesaran, keagungan, kemuliaan) kerana Allah S.W.T. akan melimpahkan rahmat-Nya, kemurahan-Nya dan Ruangan Bimbingan Rohani kali ini menyorot fadhilat bulan Rejab dan beberapa hadis Rasulullah S.A.W. berkenaan dengannya.

FADHILAT BULAN REJAB

Bulan Rejab kembali lagi. Ia merupakan bulan yang sangat dimuliakan di dalam Islam. Banyak hadis Rasulullah S.A.W. yang telah diriwayatkan oleh para sahabat Baginda mengenai kelebihan bulan Rejab, bulan ketujuh di dalam kalendar Islam. Rejab bermaksud ta'azim (kebesaran, keagungan, kemuliaan) kerana Allah S.W.T. akan melimpahkan rahmat-Nya, kemurahan-Nya dan Ruangan Bimbingan Rohani kali ini menyorot fadhilat bulan Rejab dan beberapa hadis Rasulullah S.A.W. berkenaan dengannya.
Amalan terbaik di dalam bulan Rejab ini ialah berpuasa. Maksud hadis Rasulullah S.A.W. tentang kelebihan berpuasa di dalam bulan Rejab adalah seperti berikut:

EPuasa 1 hari - Seperti berpuasa 40 tahun dan mendapat keredhaan Allah serta syurga tertinggi.
EPuasa 2 hari - mendapat kemuliaan besar daripada Allah dan dilipatgandakan pahalanya.
EPuasa 3 hari - dijauhkan dugaan dunia oleh Allah, dijadikan sebuah parit panjang yang menghalangnya ke neraka,
EPuasa 4 hari - diselamatkan daripada siksaan akhirat kelak serta fitnah Dajjal.
EPuasa 5 hari - aman dari azab kubur.
EPuasa 6 hari - dibangkitkan dari kubur dengan muka bercahaya.
EPuasa 7 hari - Allah mengunci 7 pintu neraka jahannam baginya.
EPuasa 8 hari - Allah membuka 8 pintu syurga baginya.
EPuasa 9 hari - keluar dari kuburnya lalu menyeru "Laailahaillallah" dan tidak ditolak dia dari memasuki syurga.
EPuasa 10 hari - Allah memperkenankan semua permintaan dan hajatnya, dijadikan hamparan perhentian di titian Siratul Mustaqim setiap satu batu dan dijadikan 2 sayap untuk terbang seperti kilat di titian Siratul Mustaqim.
EPuasa 13 hari - Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 3,000 tahun.
EPuasa 14 hari - Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 10,000 tahun.
EPuasa 15 hari - Allah mengampunkan semua dosanya yang lalu di samping menggantikan amalan kejahatan dengan amalan kebaikan. Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 100,000 tahun.
EPuasa 16 hari - dapat melihat wajah Allah di dalam syurga dan orang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.
EPuasa 19 hari - Dibina sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Adam.
EPuasa 20 hari - Allah mengampunkan segala dosanya yang lalu, dan melakukan amalan baik dengan baki umurnya.

ESesiapa yang berpuasa 3 hari dalam bulan Rejab dan beribadat pada malamnya seperti dia berpuasa 3,000 tahun, diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar setiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawa dari jasadnya, 70 hajat ketika di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Al-Quran dinaikkan ke langit), 70 hajat ketika ditimbang amalannya di Mizan, dan 70 hajat ketika melalui titian Siratul Mustaqim.

EBerpuasa pada 27 Rejab (Hari Israk dan Mikraj) seperti berpuasa 60 bulan pahalanya, jika disertai dengan sedekah seumpama puasa 1,000 tahun.
E Dapat meminum air sungai yang dinamakan Rejab yang mana airnya lebih putih dari susu, lebih manis daripada manisan, lebih dingin dari salji.
E Setiap umat Islam yang berpuasa di bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumur hidupnya. Tambahan bersedekah seperti beribadat seribu kali haji dan umrah. Dibina untuknya seribu mahligai dengan seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada matahari seribu kali.
E Sedekah di bulan Rejab seumpama sedekah seribu dinar, dituliskan kepada tiap-tiap helai bulu romanya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat dan dihapuskan seribu kejahatan serta dijauhkan daripada api Neraka.

Orang yang lemah dari berpuasa di bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari, sekurang-kurangnya sebuku roti.
Kelebihan lain bulan Rejab:

1. Di dalam bulan lain Allah membalas amalan umat-Nya 10 kali, tetapi di dalan bulan Rejab Allah akan membalas amalan umat-Nya 70 kali.
2. Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali di dalam bulan Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka.
3. Rejab bulan Allah, Sya'aban bulan Rasulullah. S.A.W, Ramadhan bulan umat Rasulullah S.A.W.
4. Rejab adalah bulan menabur benih, Sya'aban bulan menyiram tanaman manakala Ramadhan bulan menuai.
5. Amalan di dalam bulan Rejab menyucikan badan, Sya'aban menyucikan hati manakala Ramadhan menyucikan roh.
6. Rejab adalah bulan maghfirah (keampunan), Sya'aban bulan syafaat manakala Ramadhan bulan menggandakan kebajikan.
7. Rejab adalah bulan taubat, Sya'aban bulan muhibbah manakala Ramadhan bulan dilimpahi pahala amalan yang banyak.
8. Pahala amalan baik di dalam bulan Rejab diganda 70 pahala, Sya'aban diganda 700 pahala dan Ramadhan diganda 1,000 pahala.
Beberapa amalan lain yang baik dilakukan dalam bulan Rejab:

1. Menyucikan diri daripada dosa dengan bertaubat dan memohon ampun
2. Membersihkan hati yang lalai dan alpa melalui amalan istighfar dan zikir
3. Mendekatkan diri kepada Allah dengan menunaikan solat
4. Memohon keselamatan dan kesejahteraan dengan berselawat dan berdoa kepada-Nya
5. Menginsafkan diri dengan membaca kisah teladan perjuangan Rasulullah S.A.W. dan sirah Islam lain.

Peristiwa penting yang telah berlaku dalam bulan Rejab:

1. Israk dan Mikraj (27 Rejab)
2. Solat 5 waktu difardukan ke atas umat Islam (Malam Israk Mikraj)
3. Perang Tabuk terjadi di dalam tahun ke-9 Hijrah.

Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj adalah sebuah peristiwa di mana Nabi Muhammad S.A.W telah di"israk"kan (dibawa berjalan) dari Kota Mekah ke Baitul Muqaddis serta di"mikraj"kan (dibawa naik ke atas) ke Sidratul Muntaha untuk mengadap Allah S.W.T di mana Solat 5 waktu telah difardukan ke atas umat Islam melalui Rasulullah S.A.W. Semuanya berlaku di dalam satu malam sahaja. Firman Allah SWT:

Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada satu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui - Petikan dari Surah Al Israa ayat 1.
DOA BULAN REJAB:

Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan bulan Sya'aban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadan. Aku bermohon keampunan Allah yang Maha Agung dan tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup, yang berdiri sendiri dan aku bertaubat kepadaNya.
Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang patut disembah kecuali Engkau yang mencipta aku. Aku adalah hambaMu dan aku dalam genggamanMu. Aku dalam perjanjian (beriman dan taat) kepadaMu sekadar kemampuan yang ada padaku.
Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang (mungkin) aku lakukan. Aku mengakui atas nikmat yang engkau berikan kepadaku dan mengakui dosa-dosaku. Kerana itu aku memohon keampunan-Mu dan sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa seseorang kecuali Engkau Ya-Allah.

Istighfar paling baik dalam bulan Rejab:

Maksudnya: Aku bermohon keampunan Allah yang Maha Agung dan tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup, yang berdiri sendiri dan aku bertaubat kepadaNya.
Kesimpulannya, bulan Rejab merupakan sebuah bulan yang banyak keistimewaannya yang dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada umat-Nya, kerana Rejab adalah bulan Allah. Pintu rahmat terbuka luas kepada umat-Nya untuk bertaubat dan memohon ampun di atas dosa-dosa yang lepas. Namun begitu, suka diingatkan bahawa kita perlu mengerjakan segala amalan yang dituntut ini dengan sifat ikhlas, rendah diri dan tawwaduk agar ganjaran yang akan diperolehi itu ada keberkatannya.

DOA HARI INI



DOA MOHON KEDUDUKAN YANG BAIK
رَبِّ أَدْخِلْنِى مَدْخَلَ صِدْقٍ وَاخْرُجْنِى مخَََْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِى مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرً Ya tuhanku, masukkanlah aku secara yang benar dan keluarkanlah aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku kekuasaan yang menolong( Al-Isra’: